Ikan panggang lebih wangi
Bagi mendapatkan ikan panggang berbau wangi, balutkan ikan yang sudah diperap dengan daun kunyit. Kemudian bakar dengan menggunakan api yang sederhana sehingga masak.
Limau kekal segar
Bagi memastikan limau yang disimpan di dalam peti sejuk sentiasa segar, ikut petua ini. Basuh limau nipis terlebih dahulu.Kemudian, lumurkannya dengan garam. Simpan dalam peti sejuk.
Cara hilangkan getah putik pisang
Pisang muda biasanya bergetah. Bagi menghilangkan getahnya, kupas kulit pisang muda. Masukkan ke dalam sebuah mangkuk yang berisi air, garam dan sedikit kapur. Kacau sebati dan biarkan seketika. Anda akan dapati getah pisang mudah dikeluarkan.
Daging cepat empuk
Daging mungkin mengambil masa untuk empuk, bagi memendekkan masanya gunakan cara ini. Masukkan keratan batang ubi kayu yang telah dibersihkan ke dalam daging yang sedang mendidih. Biarkan selama 10 minit sebelum diangkat.
Jemput-jemput lembut dan enak
Bagi mendapatkan jemput-jemput lembut dan tahan lebih lama, ikuti petua ini. Campurkan semua bahan-bahan untuk membuat jemput-jemput di dalam satu bekas. Ketika hendak menguli tepung, tuangkan air panas ke dalam tepung tadi. Gaulkan sehingga sebati. Kemudian goreng seperti biasa.
Kuah kacang lebih lazat
Kebiasaannya kuah kacang dimasak tanpa perencah seperti ayam dan udang kering. Untuk masakan lebih sedap, masukkan ayam dipotong kecil atau sedikit udang kering ke dalam kuah kacang yang dimasak. Kemudian, tambahkan satu kiub ayam di dalamnya. Kuah kacang akan terasa lebih lazat daripada biasa.
Hilangkan hanyir ikan air tawar
Bau ikan air tawar selalunya kurang menyenangkan. Bagi menghilangkan bau hanyir tersebut, caranya mudah. Ambil sebiji buah lemon dan diperah jusnya.Gaul ikan bersama jus lemon selama lima minit kemudian basuh. Bukan sahaja bau hanyir akan hilang, malah hasilnya akan sedap.
Hampas kelapa bersihkan kerak dodol
Selepas memasak dodol, kawah selalunya akan berkerak. Bagi membersihkannya taburkan hampas kelapa di seluruh bahagian kawah. Kemudian gosok dengan menggunakan tangan. InsyaAllah kerak dodol akan keluar dengan mudah.
Mencuci kerak periuk
Rebus kulit ubi kentang dalam periuk berkerak dalam tempoh beberapa minit.Setelah air itu panas, kerak yang melekat di periuk akan tertanggal dengan sendirinya.
Menghalau lalat
Ambil beberapa kuntum bunga cengkih masukkan ke dalam cawan atau mangkuk berisi air. Biarkan ia terdedah di ruang dapur anda. InsyaAllah, lalat-lalat yang berterbangan akan keluar dengan sendirinya dari ruang dapur anda.
No comments:
Post a Comment